Industri pelancongan mampu
menyumbang kepada sumber pendapatan utama negara jika potensi produk
sedia ada seperti keindahan alam sekitar dieksploitasi sepenuhnya.
Kerajaan turut melihat sektor berkenaan sebagai komponen penting
kepada Program Transformasi Ekonomi dan aspirasi negara untuk mencapai
Wawasan 2020.
Salah satu produk pelancongan popular di negara ini adalah Pulau
Langkawi yang menjadi destinasi peranginan tumpuan pelancong dari dalam
dan luar negara.
Sejak awal pembangunannya pada penghujung 1980-an apabila bekas
Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan pulau legenda
sumpahan Mahsuri itu sebagai pulau bebas cukai, Langkawi menjalani
pertumbuhan yang pesat.
Pulau berkenaan berubah menjadi destinasi pelancongan popular dan
kemuncaknya dengan penganugerahan status Langkawi Geopark oleh
Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (UNESCO) pada 2007.
Justeru, untuk melonjakkan sektor pelancongan negara ke tahap yang
lebih tinggi, potensi Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan
terbaik dunia perlu lebih diserlahkan.
Bagi tujuan itu, satu pelan tindakan rangka kerja terperinci direka
untuk melonjakkan kedudukan Langkawi sebaris dengan destinasi pulau
peranginan terkemuka dunia.
Blueprint Pelancongan Langkawi yang melibatkan anggaran pelaburan
sebanyak RM5 bilion dalam tempoh lima tahun itu dilancarkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pulau lagenda itu pada 8
Disember lalu.
Menerusi pelan tindakan itu, kedudukan dan potensi Langkawi diberi
nafas baru bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk menjadikan pulau
legenda berkenaan sebagai antara 10 pulau dan destinasi ekopelancongan
terbaik dunia menjelang 2015.
Pelan induk berkenaan menggariskan 14 inisiatif meliputi tiga tema
iaitu produk, infrastruktur dan pembolehdaya yang dijangka merancakkan
lagi industri pelancongan di situ dalam tempoh tersebut.
Pelaksanaannya dijangka menggandakan pendapatan sektor pelancongan
kepada RM3.8 bilion menerusi kedatangan tiga juta pelancong pada 2015
selain mewujudkan sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baharu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed
Yakcop, sasaran yang jelas, perancangan strategik dan pelaksanaan secara
efektif merupakan ramuan penting bagi membolehkan Langkawi mencapai
potensinya.
Kata beliau, selain pertumbuhan ekonomi, objektif lain seperti
perlindungan alam sekitar, pembangunan mampan dan tenaga kerja juga
diutamakan.
"Saya gembira melihat elemen-elemen ini diambil kira dalam rangka
pelan dasar tersebut," katanya dalam perutusan terkandung di dalam Blueprint Pelancongan Langkawi 2011-2015 yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Katanya, sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan, pembiayaan yang
signifikan telah diperuntukan untuk melaksanakan pelan tindakan itu.
"Agensi-agensi utama juga akan diperkukuh secara berterusan bagi memastikan keupayaan dalam melaksanakan inisiatif di bawah Bleuprint ini.
"Dengan komitmen bersama agensi Persekutuan dan negeri serta
kerjasama sektor swasta, kedudukan Langkawi akan lebih terserlah di peta
dunia," katanya.
Aspirasi yang dirangka dalam pelan dasar berkenaan bagaimanapun tidak
akan terhasil secara tiba-tiba tetapi ia memerlukan kepimpinan,
komitmen dan usaha gigih semua pihak bagi melaksanakannya.
Sokongan daripada penduduk Langkawi secara menyeluruh juga amat
diperlukan kerana apabila transformasi yang bakal dilakukan itu berjaya,
ia bukan sahaja akan menjadikan Langkawi lebih maju malah seluruh
penduduk akan mendapat manfaat daripadanya.
No comments:
Post a Comment