Tuesday 10 July 2012

Pulau Ligitan



Ligitan adalah sebuah pulau di negari Sabah, Malaysia. Lokasinya tidak jauh dari pulau Borneo/Kalimantan. Pulau kecil ini terletak di Tawau, Sabah dan di Lautan Sulawesi.
Pulau ini telah dituntut bersama-sama oleh Malaysia dan Indonesia dan menjadi pertikaian wilayah antara Indonesia dan Malaysia. Namun, setelah di bawa bagi perbicaraan diperingkat antarabangsa, pulau ini beserta Pulau Sipadan diputuskan menjadi wilayah Malaysia pada tahun 2003 oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan ini berdasarkan "penguasaan berkesan - effective occupation" yang ditunjukkan oleh British (bekas pengkoloni Malaysia sebelum ini), dan ketiadaan tuntutan yang lebih baik.
Malaysia benar-benar mengelola pulau ini dengan baik sehingga pulau ini menjadi terkenal kerana keindahan alamnya. Selain itu di pulau ini juga masih sering ditemui penyu-penyu melepaskan telurnya.

Pulau Dayang Bunting


Pulau Dayang Bunting merupakan pulau yang terbesar selepas Langkawi di Kedah. Ia terletak 17.6 km atau kira-kira 15 minit perjalanan dengan bot dari jeti Kuah, Langkawi. Jalan perhubungan hanya melalui bot laju yang boleh disewa di jeti pekan Kuah, pulau Langkawi dengan kadar pakej RM45.00 seorang.
Pulau ini mendapat nama daripada kisah gergasi sakti yang bernama Dayang Bunting. Pulau ini seimbas lalu menyerupai gergasi hamil yang terlena. Dalam perjalanan ke Tasik Dayang Bunting, kita akan lihat bentuk gunung yang menyerupai seorang perempuan sedang terbaring dengan bentuk kepala , dada dan perut yang sedang bunting.
Antara tempat yang menarik di sini ialah Tasik Dayang Bunting dan Gua Langsuir. Gua Langsuir terletak di tengah perjalanan ke Tasik Dayang Bunting. Gua ini adalah akibat kesan hakisan ombak laut jutaan tahun lampau. Terdapat bentuk-bentuk tergantung iaitu stalagtik yang mempunyai pelbagai bentuk - lalu dinamakan langsuir.
Di tengah pulau Dayang Bunting pula terdapat tasik air tawar yang berkeluasan 3 padang bola sepak. Sebuah jeti telah dibina di tepian pulau Dayang Bunting untuk bot-bot pelancong singgah. Tangga-tangga dibina ke atas dan kemudian kemudian menurun ke bawah - jaraknya 1 km sahaja . Sebuah pelantar dibina di tepi tasik dan disediakan jaket keselamatan dan bot berdayung dengan kaki dengan sewaan RM15.00 . air tasiknya hijau jernih dan menimbulkan panorama yang menarik.

Pulau Banggi

Pulau Banggi merupakan sebuah pulau yang terletak di timur laut Kudat, Sabah, Malaysia. Pulau ini berkeluasan kira-kira 440.7 kilometer persegi, merupakan pulau yang terbesar di Malaysia, diikuti dengan Pulau Langkawi dan Pulau Pinang.
Pulau Banggi terletak di utara Sabah dan berdekatan dengan Teluk Marudu. Puncak tertinggi bagi pulau ini adalah sebuah bukit yang dikenali sebagai Bukit Sibumbung dengan ketinggian 529 meter. Pusat pentadbiran Pulau Banggi ialah pekan Karakit dan pekan ini menempatkan Pejabat Daerah Kecil Banggi, Rest House (Rumah Rehat), Klinik Kesihatan, Balai Polis, jabatan-jabatan kerajaan, SMK Banggi, Pangkalan Polis PGA, dan rumah-rumah para penduduk kampung. Penduduk pekan ini dianggarkan seramai 1000 orang. Penduduk utama Pulau Banggi ialah daripada suku kaum Ubian dan Dusun Bonggi. Terdapat juga kaum-kaum lain iaitu orang Βajau, Kagayan, dan Ѕuluk.
Dalam tahun 2003 anggaran penduduknya ialah 20,000. Pulau Sebogoh yang merupakan sebahagian pulau-pulau kecil Pulau Banggi merupakan pulau yang paling hampir dengan sempadan Malaysia-Filipina.
Sebahagian mereka menjadi nelayan dan membina rumah air iaitu rumah bertiang kayu yang dibina di pantai landai lagi cetek.
Cara pergi ke sana: Anda boleh menyewa bot laju atau bot pancung dari Teluk Marudu atau dari Kudat.

Air Terjun Cemerong Dungun


Air Terjun Cemerong dikatakan merupakan air terjun tertinggi di Asia. Benar atau tidak saya sendiri kurang pasti. Itu apa yang saya baca dan dengar la. Air Terjun Cemerong terletak di daerah Dungun dan dekat dengan kawasan Kampung Pasir Raja. Memang jauh nak sampai a Air Terjun Cemerong dan anda perlu melalui hutan dan ladang kelapa sawit. Walau pun jauh tidak mengapa kerana anda akan merasai kepuasannya apabila sampai di sana. Anda akan dapat mandi dengan sepuasnya sambil menikmati permandangan yang hijau dan udara yang nyaman. Air Terjun Cemerong merupakan salah satu tempat menarik yang harus anda kunjungi apabila sampai di dungun, Terengganu. Alami pengalaman luar biasa melihat matahari naik serta terbenam, sambil berjalan di atas pasir halus keemasan yang menarik dengan hembusan lembut bayu yang dingin. Pantai ini juga lokasi menarik untuk luncur air, menaiki bot, kayak dan menyelam


Glory Beach Resort Port Dickson


Salah satu tempat menarik di Negeri Sembilan terletak di Glory Beach Resort Port Dickson. Ia merupakan pusat peranginan pantai yang kini semakin mencipta nama di khalayak pelancongan tempatan dan luar negara. Mengapa tidak, hembusan bayu Selat Melaka, pasir putih yang berkilau seperti emas seni taman yang indah dan senireka bangunan yang menarik adalah paduan keindahan alam semulajadi yang sepadu dan sebati.

Kemudahan penginapan apartmen eksklusif, kelas perniagaan dan penthouse disediakan. Kadar yang ditawarkan adalah amat berpatutan. Setiap apartment dilengkapi dengan ‘amenities” setaraf dengan perkhidmatan resort 4 bintang.


Di Glory Beach Resort, infra yang ada amat sesuai untuk percutian keluarga dan rakan. Aktiviti santai minda seperti menikmati hidangan istimewa di Coral Cafe, BBQ di Kokoma Beach, aktiviti rekreasi seperti Jet Ski, bot laju dan sebagainya pastinya mengeratkan hubungan insan. Bagi penggemar muzik, anda pasti terhibur dengan persembahan yang disajikan.

Keperluan kanak-kanak adalah priority Glory Beach Resort. Selain kolam renang rekreasi yang terbesar di Malaysia terdapat sebuah taman permainan yang canggih untuk mereka bersantai minda. Di Pawagam Mini ditayangkan filem-filem aksi, kartun dan cereka secara percuma. Bagi penggemar aktiviti sukan, gelanggang tennis, skuasi, mini basketball, bola tampar pantai, bola sepak pantai, gymnasium, sauna dan sukan air disediakan untuk para pengunjung.

Tempat menarik di Melaka

Melaka, sebuah negeri di Malaysia yang mendapat jolokan bandaraya bersejarah sememangnya mempunyai banyak tarikan. Adalah menjadi kemestian bagi pengunjung yang berada di Melaka untuk singgah ke Perigi Hang Tuah, Menara Taming Sari, Kota A Famosa dan Bangunan Merah yang terkenal dengan peristiwa sejarahnya yang tersendiri. Sesetengah pengunjung yang inginkan kelainan, mereka bolehlah mencuba menaiki kereta lembu di Ayer Keroh, Melaka. Bagi yang ingin menyelusuri sepanjang sungai Melaka dan melihat keindahan Melaka, Melaka River Cruise merupakan jawapannya. Pelayaran yang mengambil masa selama 45 minit sejauh 9 km membolehkan pengunjung menjamu mata dengan keindahan peninggalan sejarah. Selain itu, terdapat Zoo dan Taman Buaya Melaka yang menggamit kedatangan pengunjung.

Pulau Rawa


Pulau Rawa yang terletak 16 km dari pantai Mersing terkenal dengan pasirnya yang putih bersih, pepohon kelapa yang tinggi melampai dan terumbu karang yang penuh dengan ikan beraneka warna serta hidupan laut yang lain

Pulau yang aman hanya mempunyai dua pilihan tempat tinggal. Calet kayu yang terselindung di antara pepohon kelapa mengekalkan suasana semulajadi di sini dan menyerlahkan lagi jolokan pulau ini sebagai destinasi percutian yang aman dan mempesona.

Pulau Ketam

Dalam perjalan menuju ke Pelabuhan Kelang, hujan renyai-renyai dan awan mendung berat kelihatan berlegar dikepala kami. Cuaca seperti tidak mengizinkan kami mencari bahan menarik di Pulau Ketam, Selangor.
Sesampai di Jeti Pulau Ketam yang berhampiran dengan station keretapi komuter Pelabuhan Kelang atau lebih dikenali oleh pekerja-pekerja Indonesia sebagai jeti pintu masuk mencari rezeki di Malaysia, keadaan agak sibuk dengan rakyat asing yang menanti kehadiran sanak saudara ataupun menuju pulang ke tanahair masing-masing.Tepat pada jam 8.45 pagi ferri berhawa dingin menuju Pulau Ketam sedang menunggu kami di jeti dengan kadar tambang RM7 seorang. Perjalanan menuju Pulau Ketam mengambil masa lebih kurang 45 minit.Sesampai di Jeti Pulau Ketam, kerja-kerja memunggah barang dari tanah besar untuk jualan penduduk di pulau sudah menjadi rutin harian. Bahan-bahan mentah seperti mee, roti, ayam, sayuran dan makanan asas yang lain. Keunikkan pulau ini sudah dapat dilihat dari jeti ini, kenderaan bermotor dilarang sama sekali berada di pulau ini atas arahan kerajaan Selangor, sekaligus memperlihatkan penggunaan basikal menjadi kenderaan utama di pulau ini.

Tanjung Harapan

Tanjung Harapan letaknya tidak jauh daripada Pelabuhan Utara atau North Port. Di sekitar kawasan ini terdapat kilang-kilang dan gudang kerana Port Klang adalah juga kawasan perindustrian. Istimewanya di Tanjung Harapan ialah kapal-kapal dagang yang besar dan bot-bot kecil boleh saja dilihat berlabuh, belayar keluar dan masuk ke pelabuhan dengan jelas. Dulu, pada tahun 90-an, kawasan ini juga disebut sebagai Esplanade. Orang Klang juga memanggil tempat ini dengan nama Tanjung Gila. Tanjung Gila! Pelik bunyinyakan!
Tanjung Harapan merupakan kawasan berpantai di Selangor, yang terdekat untuk dikunjungi oleh orang-orang sekitar Klang dan Shah Alam. Jaraknya daripada pusat bandar DiRaja Klang hanya 12 km dan jika daripada Bandaraya Shah Alam kira-kira 20km (15-20 minit perjalanan).

Destinasi Pelancongan di Sarawak

Sarawak merupakan antara negeri yang mempunyai banyak kaum. Namun, suku kaum Iban atau Dayak Laut merupakan kumpulan etnik terbesar di Sarawak seramai 876,000 iaitu 40% daripada jumlah penduduk Sarawak . Mereka tinggal secara berkumpulan di rumah tradisional yang dikenali sebagai rumah panjang yang kebiasaanya terletak di tebingan sungai dan di tepi jalan raya. Amalan cara hidup yang diamalkan adalah berlandaskan hukum adat, pantang-larang, tolak-ansur, dan berteraskan perhubungan persaudaraan yang erat antara satu sama lain. Walaupun kebanyakan daripada masyarakat Iban kini menganut agama Kristian, tetapi mereka masih mengekalkan amalan tradisi adat resam nenek moyang mereka. Menurut sebuah artikel, Sarawak bukan sahaja terkenal dengan tempat-tempat yang menarik tetapi merupakan negeri yang terbersih di Malaysia. Negeri Bumi Kenyalang ini mempunyai 15 kawasan yang dilindungi sepenuhnya, 4 kawasan hidupan liar dan 5 kawasan simpanan semula jadi. Antara taman negara di sini termasuklah Mulu, Bako dan Niah. Taman Negara Niah merupakan tempat bersejarah. Kuching Waterfront, sebuah tempat yang menjadikan kunjungan anda seperti tidak lengkap jika tidak singgah ke sini. Selain keindahan Sungai Sarawak, kita boleh menikmati pemandangan bot-bot kecil serta melihat aliran air sungai yang bersih. Bersetentangan dengan Kuching Waterfront, terdapat banyak deretan kedai yang menjual pelbagai jenis kraf yang boleh dijadikan buah tangan. Bandaraya Kuching dan kawasan sekitarnya pula mempunyai beberapa tempat rekreasi seperti Taman Stutong, Gua Angin dan Gua Pari-pari. Pelawat yang berminat terhadap sejarah dan budaya Sarawak disarankan melawat Muzium Sarawak, Kampung Budaya di Damai atau jejak warisan Kuching di pusat bandar raya.

Pulau Bruit


   Sarawak yang terletak di kepulauan borneo mempunyai gugusan pulau yang tidak kurang menariknya. Salah satu daripadanya ialah Pulau Bruit. Pulau tersebut terletak di kawasan Rejang Delta iaitu 150 km barat laut Kuching, di bawah bahagian Mukah dan di dalam daerah Daro. Pulau Bruit merupakan pulau terbesar di negeri Sarawak dan yang kedua terbesar di Malaysia, selepas Pulau Banggi di Sabah. Pulau Bruit atau pada satu masa dahulu pernah dikenali sebagai Sri Bruit merupakan pulau yang mempunyai sejarah tersendiri terutamanya kewujudan cerita yang dikaitkan dengan cara tempat tersebut mendapat nama.
  Selain itu, di Sarawak juga terdapat pantai yang menarik. Walaupun bentuk muka bumi di Sarawak adalah secara keseluruhannya berpaya dan bergunung-ganang, namun masih terdapat pantai yang menarik untuk dikunjungi. Pantai Pandan yang landai dan bersih boleh dijadikan contoh. Pengunjung boleh menikmati keindahan alam semula jadi di sana. Selain itu mereka juga berpeluang melihat nelayan menangkap bubuk dan pusuk (ikan bilis) sekiranya berkunjung pada musimnya. Selain Pulau Pandan, terdapat beberapa lagi pantai pilihan seperti Pantai Sematan. Pantai yang cantik ini terletak 128 km dari bandaraya Kuching. Antara tarikan utama di pantai ini ialah Pesta Pantai yang akan diadakan pada setiap bulan Mei di Pantai Sematan dan Pulau Talang-Talang.

Pulau Kapas



Pulau Kapas merupakan jawapan bagi segala persoalan yang bermain di fikiran anda. Ramai yang masih tertanya-tanya dan tercari-cari pulau pulau yang indah, hutan semulajadi yang segar, air laut yang biru, pantai yang menarik dan terumbu karang yang berwarna-warni.
 Semuanya menanti anda di Pulau Kapas, Marang, Terengganu. Anda boleh dapatkan pakej percutian di Pulau Kapas atau jika ingin jimat bajet atau sukakan cabaran lebih elok terus datang sahaja ke sini. Memang mudah kalau bercuti ke Pulau Kapas. Percutian ini amat sesuai untuk mereka yang berbulan madu atau membawa anak-anak ke sini.
Ramai yang bertanya bagaimana ingin ke Pulau Kapas. Adakah dengan menaiki Feri? Kebiasaannya kemudahan bot laju boleh didapati di Jeti Marang dengan harga RM40/seorang untuk perjalanan pergi dan balik. Lebih kurang 15 minit anda boleh sampai ke Pulau Kapas dengan bot laju. Jadual bot pulau kapas bermula dari jam 9 pagi hingga 5 petang.
 Penginapan yang terdapat di sana ialah seperti Pulau kapas island resort, Makcik gemuk chalet, pulau kapas qimi chalet dan banyak lagi. Harganya ada yang murah dan ada yang mahal. Bergantung pada keselesaan dan lokasi.

Pulau Tioman

Pulau Tioman merupakan destinasi percutian yang paling mempesona di Laut China Selatan. Pulau Tioman yang terletak kira-kira 56km dari pantai negeri Pahang telah dinobatkan antara 10 pulau paling tercantik di dunia. Pulau Tioman merupakan sebuah pulau yang terkenal dikalangan peminat sukan menyelam (scuba). Pulau Tioman memiliki keluasan 39 km panjang dan 12 km lebar. Pelancong yang berhajat untuk ke Pulau Tioman,boleh menaiki Bot laju dari Jeti Mersing.

Pulau Perhentian

Umum mengetahui, Pulau Perhentian merupakan salah satu destinasi pelancongan yang paling popular di Malaysia. Kejernihan air laut serta kepelbagaian hidupan marin yang masih cantik dan terpelihara menjadikan ia antara destinasi pelancongan di pulau yang terbaik di Malaysia.

Seiring dengan keindahan pulau itu sendiri,ia juga turut popular dengan aktiviti-aktiviti seperti bersnorkel, menaiki bot, perkhemahan dan melihat penyu bertelur. Ia juga turut menjadi tumpuan pelancong yang ingin melakukan aktiviti menyelam skuba melalui sijil bertauliah yang diiktiraf di peringkat dunia sahaja.Keaslian dan keindahan alam semula jadi di lautan dan daratan yang masih lagi belum terjejas , pasir dan beberapa gua batu, bukit hutan dan tumbuhan semula jadi di sekitar pulau juga turut menjadikan ia sebagai tempat tarikan pelancongan. Aktiviti seperti jungle tracking dan juga penyelidikan tumbuhan semula jadi juga boleh dilakukan di Pulau Perhentian.

 Bagi mereka yang berminat dan ingin menghabiskan masa di Pulau Perhentian, terdapat lebih kurang 1,000 bilik penginapan dari 42 buah pengusaha chalet dan resort.Pilih sahaja daripada yang bertaraf pusat peranginan mewah, chalet bertaraf sederhana dan rendah, dorm serta tapak perkhemahan turut disediakan di sini.

Fasa baru pelancongan Langkawi

 Industri pelancongan mampu menyumbang kepada sumber pendapatan utama negara jika potensi produk sedia ada seperti keindahan alam sekitar dieksploitasi sepenuhnya.
Kerajaan turut melihat sektor berkenaan sebagai komponen penting kepada Program Transformasi Ekonomi dan aspirasi negara untuk mencapai Wawasan 2020.
Salah satu produk pelancongan popular di negara ini adalah Pulau Langkawi yang menjadi destinasi peranginan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Sejak awal pembangunannya pada penghujung 1980-an apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan pulau legenda sumpahan Mahsuri itu sebagai pulau bebas cukai, Langkawi menjalani pertumbuhan yang pesat.
Pulau berkenaan berubah menjadi destinasi pelancongan popular dan kemuncaknya dengan penganugerahan status Langkawi Geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2007.
Justeru, untuk melonjakkan sektor pelancongan negara ke tahap yang lebih tinggi, potensi Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik dunia perlu lebih diserlahkan.
Bagi tujuan itu, satu pelan tindakan rangka kerja terperinci direka untuk melonjakkan kedudukan Langkawi sebaris dengan destinasi pulau peranginan terkemuka dunia.
Blueprint Pelancongan Langkawi yang melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM5 bilion dalam tempoh lima tahun itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pulau lagenda itu pada 8 Disember lalu.
Menerusi pelan tindakan itu, kedudukan dan potensi Langkawi diberi nafas baru bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk menjadikan pulau legenda berkenaan sebagai antara 10 pulau dan destinasi ekopelancongan terbaik dunia menjelang 2015.
Pelan induk berkenaan menggariskan 14 inisiatif meliputi tiga tema iaitu produk, infrastruktur dan pembolehdaya yang dijangka merancakkan lagi industri pelancongan di situ dalam tempoh tersebut.
Pelaksanaannya dijangka menggandakan pendapatan sektor pelancongan kepada RM3.8 bilion menerusi kedatangan tiga juta pelancong pada 2015 selain mewujudkan sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baharu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, sasaran yang jelas, perancangan strategik dan pelaksanaan secara efektif merupakan ramuan penting bagi membolehkan Langkawi mencapai potensinya.
Kata beliau, selain pertumbuhan ekonomi, objektif lain seperti perlindungan alam sekitar, pembangunan mampan dan tenaga kerja juga diutamakan.
"Saya gembira melihat elemen-elemen ini diambil kira dalam rangka pelan dasar tersebut," katanya dalam perutusan terkandung di dalam Blueprint Pelancongan Langkawi 2011-2015 yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Katanya, sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan, pembiayaan yang signifikan telah diperuntukan untuk melaksanakan pelan tindakan itu.
"Agensi-agensi utama juga akan diperkukuh secara berterusan bagi memastikan keupayaan dalam melaksanakan inisiatif di bawah Bleuprint ini.
"Dengan komitmen bersama agensi Persekutuan dan negeri serta kerjasama sektor swasta, kedudukan Langkawi akan lebih terserlah di peta dunia," katanya.
Aspirasi yang dirangka dalam pelan dasar berkenaan bagaimanapun tidak akan terhasil secara tiba-tiba tetapi ia memerlukan kepimpinan, komitmen dan usaha gigih semua pihak bagi melaksanakannya.
Sokongan daripada penduduk Langkawi secara menyeluruh juga amat diperlukan kerana apabila transformasi yang bakal dilakukan itu berjaya, ia bukan sahaja akan menjadikan Langkawi lebih maju malah seluruh penduduk akan mendapat manfaat daripadanya.