Tuesday 10 July 2012

Fasa baru pelancongan Langkawi

 Industri pelancongan mampu menyumbang kepada sumber pendapatan utama negara jika potensi produk sedia ada seperti keindahan alam sekitar dieksploitasi sepenuhnya.
Kerajaan turut melihat sektor berkenaan sebagai komponen penting kepada Program Transformasi Ekonomi dan aspirasi negara untuk mencapai Wawasan 2020.
Salah satu produk pelancongan popular di negara ini adalah Pulau Langkawi yang menjadi destinasi peranginan tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara.
Sejak awal pembangunannya pada penghujung 1980-an apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengisytiharkan pulau legenda sumpahan Mahsuri itu sebagai pulau bebas cukai, Langkawi menjalani pertumbuhan yang pesat.
Pulau berkenaan berubah menjadi destinasi pelancongan popular dan kemuncaknya dengan penganugerahan status Langkawi Geopark oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 2007.
Justeru, untuk melonjakkan sektor pelancongan negara ke tahap yang lebih tinggi, potensi Langkawi sebagai salah satu destinasi pelancongan terbaik dunia perlu lebih diserlahkan.
Bagi tujuan itu, satu pelan tindakan rangka kerja terperinci direka untuk melonjakkan kedudukan Langkawi sebaris dengan destinasi pulau peranginan terkemuka dunia.
Blueprint Pelancongan Langkawi yang melibatkan anggaran pelaburan sebanyak RM5 bilion dalam tempoh lima tahun itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pulau lagenda itu pada 8 Disember lalu.
Menerusi pelan tindakan itu, kedudukan dan potensi Langkawi diberi nafas baru bagi mencapai aspirasi kerajaan untuk menjadikan pulau legenda berkenaan sebagai antara 10 pulau dan destinasi ekopelancongan terbaik dunia menjelang 2015.
Pelan induk berkenaan menggariskan 14 inisiatif meliputi tiga tema iaitu produk, infrastruktur dan pembolehdaya yang dijangka merancakkan lagi industri pelancongan di situ dalam tempoh tersebut.
Pelaksanaannya dijangka menggandakan pendapatan sektor pelancongan kepada RM3.8 bilion menerusi kedatangan tiga juta pelancong pada 2015 selain mewujudkan sebanyak 4,200 peluang pekerjaan baharu.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, sasaran yang jelas, perancangan strategik dan pelaksanaan secara efektif merupakan ramuan penting bagi membolehkan Langkawi mencapai potensinya.
Kata beliau, selain pertumbuhan ekonomi, objektif lain seperti perlindungan alam sekitar, pembangunan mampan dan tenaga kerja juga diutamakan.
"Saya gembira melihat elemen-elemen ini diambil kira dalam rangka pelan dasar tersebut," katanya dalam perutusan terkandung di dalam Blueprint Pelancongan Langkawi 2011-2015 yang dilancarkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Katanya, sebagai komitmen Kerajaan Persekutuan, pembiayaan yang signifikan telah diperuntukan untuk melaksanakan pelan tindakan itu.
"Agensi-agensi utama juga akan diperkukuh secara berterusan bagi memastikan keupayaan dalam melaksanakan inisiatif di bawah Bleuprint ini.
"Dengan komitmen bersama agensi Persekutuan dan negeri serta kerjasama sektor swasta, kedudukan Langkawi akan lebih terserlah di peta dunia," katanya.
Aspirasi yang dirangka dalam pelan dasar berkenaan bagaimanapun tidak akan terhasil secara tiba-tiba tetapi ia memerlukan kepimpinan, komitmen dan usaha gigih semua pihak bagi melaksanakannya.
Sokongan daripada penduduk Langkawi secara menyeluruh juga amat diperlukan kerana apabila transformasi yang bakal dilakukan itu berjaya, ia bukan sahaja akan menjadikan Langkawi lebih maju malah seluruh penduduk akan mendapat manfaat daripadanya.

No comments:

Post a Comment